Mutiara Hati

-Roti untuk Tetamu-
      Dalam satu riwayat,dikisahkan tentang dua orang tokoh ulama yang datang mengunjungi Rabi'ah Al- Adawiyah ketika keduanya sedang berasa lapar.
      "Mudah-mudahan Rabi'ah menyediakan makanan kepada kita,"kata mereka. "Makanan yang disediakan olehnya pasti diperoleh secara halal."
      Ketika mereka telah duduk di tempat Rabi'ah, di hadapan mereka terhampar pinggan yang di atasnya terdapat dua potong roti.Melihat perkara itu mereka sangat gembira.Akan tetapi,pada waktu itu juga ada seorang pengemis datang dan Rabi'ah memberikan kedua roti itu kepadanya.
      Kedua ulama itu sangat kecewa, namun mereka tiak berani berkata apa-apa. Tidak berapa lama kemudian, tiba-tiba masuklah seorang pelayan wanita membawakan beberapa keping roti yang masih panas sehingga mengepul dan mengeluarkan asap.
     "Majikanku menyuruhku untuk menghantarkan roti-roti ini kepada kamu," kata si pelayan kepada Rabi'ah Al-Adawiyah.
     Rabi'ah lalu menghintung roti itu,yang semuanya ternyata ada lapan belas keping. "Mungkin roti-roti ini bukan untukku," kata Rabi'ah.
    Si pelayan berusaha meyakinkan Rabi'ah,namun sia-sia sahaja.Akhirnya roti itu dibawanya kembali. Pelayan itu menyalahkan dirinya sendiri.Dia menyangka Rabi'ah tidak mengetahui perbuatannya bahawa dia telah mengambil dua potong roti untuk dirinya sendiri sehingga roti yang asalnya berjumlah dua puluh itu tinggal lapan belas. Dia pun segera meminta dua potong roti lagi kepada majikannya dan kembali lagi ke tempat Rabi'ah.    
     Setelah diterima kembali,roti-roti itu dihitung lagi oleh Rabi'ah.Ternyata jumlahnya genap dua puluh keping. Barulah Rabi'ah mahu menerimanya. "Roti-roti ini memang dikirimkan majikan kamu untukku," kata Rabi'ah.
     Kemudian Rabi'ah Al-Adawiyah menyediakan roti-roti tersebut kepada kedua tamunya tadi. Kedua ulama itu makan sambil kehairanan.
     "Wahai Rabi'ah,apakah rahsia di sebalik semua ini?" mereka bertanya kepada Rabi'ah. "Kami ingin makan roti kamu,tetapi kamu malah memberikannya kepada seorang pengemis. Kemudian kamu mengatakan kepada pelayan tadi bahawa kelapan belas roti itu bukan diberikan untuk kamu.Tetapi ketika semuanya berjumlah dua puluh keping,kamu mahu menerimanya?"
     Rabi'ah menjawab: "Sewaktu kamu datang, aku tahu bahawa kamu sedang lapar. Aku bertanya kepada diriku sendiri,apakah aku sanggup untuk menyediakan dua potong roti kepada dua orang pemuka agama yang terhormat? Itulah sebabnya ketika pengemis itu datang aku segera memberikan dua potong roti itu kepadanya.Lalu aku berdoa kepada ALLAH S.W.T yang Maha Besar: "Ya ALLAH,Engkau telah berjanji bahawa Engkau akan memberikan ganjaran sepuluh kali ganda dan janji-Mu itu ku pegang teguh. Telah ku sedekahkan dua keping roti untuk menyenangkan-Mu,semoga Engkau berkenan memberikan dua puluh keping roti sebagai balasannya." Ketika lapan belas roti itu dihantarkan kepadaku, aku mengetahui bahawa sebahagian dari jumlah itu telah dicuri atau roti-roti yang disampaikan itu bukan untukku."

~sedekah akan membuatkan kita lebih murah rezeki~

******************************

-Kisah Ibrahim bin Adham yang amat memikirkan para sahabatnya-
     Suatu hari,Ibrahim bin Adham membeli makanan setelah selesai solat Isyak dan kembali kepada para sahabat ketika hari telah larut malam.Seorang sahabatnya berkata pada sesama mereka: "Ibrahim lambat datang,marilah kita makan roti kemudian tidur.Perkara ini akan menjadi peringatan kepadanya,agar lain kali dia pulang lebih cepat dan tidak membiarkan kita terlalu lama menunggu."
      Niat itu mereka laksanakan.Ketika pulang,Ibrahim bin Adham melihat sahabat-sahabatnya sudah tertidur.dia menyangka bahawa mereka belum makan dan tidur dengan perut kosong.Ibrahim lalu menyalakan api.Dia membawa sedikit gandum,yang kemudian dibuat makanan untuk santapan para sahabatnya apabila mreka bangun nanti.Dengan demikian mereka dapat berpuasa pada hari esok.
       Ketika sahabat-sahabatnya bangun,mereka melihat Ibrahim sedang meniup api.Janggutnya menyentuh lantai dan air matanya meleleh kerana asap yang mengepul-ngepul di sekelilingnya.
     "Apa yang sedang kamu lakukan?"tanya para sahabatnya.
     "Ku lihat kamu sedang tertidur,"jawab Ibrahim, "Kamu belum memperoleh makanan dan tertidur dalam keadaan lapar,kerana itu kubuatkan makanan untuk makanan kamu setelah bangun."
     "Betapa dia memikirkan diri kita,sedangkan kita berfikir yang bukan-bukan mengenai dirinya,"kata para sahabatnya.

~berusaha berfikiran positif tentang sahabat kita~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...