Assalamualaikum ila sodiqi,
Hari ni ana nak kongsi satu cerita,
Selamat membaca!
*****************************************************
Seorang ibu mendapatkan anaknya yang sedang menangis di tangga kayu rumahnya. Kanak- kanak perempuan itu menangis namun tangannya tidak henti- henti mengelap air mata yang mengalir di pipinya.
"Umairah, kenapa menangis ni?" soal si ibu dengan lembut. Tangannya mengusap- usap lembut bahu kanak- kanak itu.
“Abang Umair tu jahatlah bu. Dia tak kasi Umairah main dengan dia. Dia kata Umairah ni perempuan, lembut.” Si ibu tersenyum mendengar kata- kata anaknya. “Umairah tak nak jadi orang perempuan. Ibu, Umairah nak jadi orang lelaki. Boleh main. Seronok. Jadi orang perempuan tak boleh main. Tak seronok. Umairah benci orang perempuan.”
Puan Suraya mencium ubun- ubun Umairah. “Maknanya Umairah benci ibulah ni ya sebab ibu perempuan?” soalnya sambil merenung jauh ke dalam mata Umairah. Anak kecil itu menggeleng.
“Umairah tak benci ibu. Ibu baik. Ibu jadilah lelaki jugak. Barulah Umairah tak benci ibu.” Puan Suraya tergelak kecil mendengar kata-kata anaknya. “Umairah, seronok tau jadi orang perempuan ni. Orang perempuan ni perhiasan dunia. Cantik sangat.”
“Perhiasan? Macam gelang yang ibu pakai tu ke?”
“Taklah.” Puan Suraya mencubit pipi Umairah. “Maknanya orang perempuan ni sangat indah. Umairah nak tahu tak, Nabi Adam A.S sunyi, sebab tulah ALLAH menciptakan Hawa.”
Umairah masih tidak mengerti. “Tapi abang Umair tak sunyi pun. Dia tak perlukan Umairah pun.”
“Ya ibu. Main dengan orang perempuan ni leceh. Bosan.” Tiba-tiba sahaja si Umair muncul, terpacak di hadapan mereka. Puan Suraya tersenyum manis. “Umair rasa bosan ke bila ada dengan ibu?” tanya Puan Suraya penuh makna.
Umair menggeleng. “Taklah. Ibu best. Suka cerita kisah nabi.”
“Ha… kalau Umair kata main dengan orang perempuan ni leceh, maknanya Umair tak sukalah ada dengan ibu. Sebab ibu ni perempuan.”
Umair terdiam seketika. “Hmm… kalau macam tu orang perempuan ni tak lecehlah ya ibu?” soalnya sambil duduk di sebelah kanan ibunya.
“Orang perempuan ni memang lembut. Tapi lembut tu bukan kelemahan. Tapi kekuatan. Maknanya, Umair tak boleh kata orang perempuan lembut ni lemah. Kelembutan perempuan ialah tunjang kekuatannya.”
Umair dan Umairah khusyuk mendengar bicara ibu mereka.
“Umair kena buat baik dengan Umairah. Budak yang baik, dia akan berbuat baik kepada semua orang, tak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda.”
Umair bangun mendekati Umairah. “Umairah, abang minta maaf sebab kata Umairah lembut. Umairah marilah main dengan abang,” ujarnya tersenyum.
“Betul ke ni? Terima kasih ibu!” Umairah memeluk ibunya. Puan Suraya tersenyum.
“Ha… macam nilah baru anak ibu yang soleh dan solehah.”
Umairah mengangguk. “Umairah dah tak benci orang perempuan. Umairah suka jadi perempuan.”
“Kalau bersyukur kata apa?”soal Puan Suraya.
Umair dan Umairah menjawab serentak. “Alhamdulillah.”
***********************************************
~~Untukmu Wanita…~~
Kau digelar sebagai penyeri dunia
Hadirmu melengkap hubungan manusia
Bukan sahaja dirindui yang biasa
Malah Adam turut sunyi tanpa Hawa
Akalmu senipis bilahan rambut
Tebalkanlah ia dengan limpahan ilmu
Jua hatimu bak kaca yang rapuh
Kuatkanlah ia dengan iman yang teguh
Tercipta engkau dari rusuk lelaki
Bukan dari kaki untuk dialasi
Bukan dari kepala untuk dijunjung
Tapi dekat dibahu untuk dilindung
Dekat jua di hati untuk dikasihi
Engkaulah wanita hiasan duniawi
Mana mungkin lahirnya bayangan yang lurus elok
Jika datangnya dari kayu yang bengkok
Begitulah peribadi yang dibentuk
Didiklah wanita dengan keimanan
Bukannya harta ataupun pujian
Kelak tidak derita berharap pada yang binasa
Engkaulah wanita istimewa
Sedarilah insan istimewa
Bahawa kelembutan bukan kelemahan
Bukan jua penghinaan dari Tuhan
Bahkan sebagai hiasan kecantikan
Hadirmu melengkap hubungan manusia
Bukan sahaja dirindui yang biasa
Malah Adam turut sunyi tanpa Hawa
Akalmu senipis bilahan rambut
Tebalkanlah ia dengan limpahan ilmu
Jua hatimu bak kaca yang rapuh
Kuatkanlah ia dengan iman yang teguh
Tercipta engkau dari rusuk lelaki
Bukan dari kaki untuk dialasi
Bukan dari kepala untuk dijunjung
Tapi dekat dibahu untuk dilindung
Dekat jua di hati untuk dikasihi
Engkaulah wanita hiasan duniawi
Mana mungkin lahirnya bayangan yang lurus elok
Jika datangnya dari kayu yang bengkok
Begitulah peribadi yang dibentuk
Didiklah wanita dengan keimanan
Bukannya harta ataupun pujian
Kelak tidak derita berharap pada yang binasa
Engkaulah wanita istimewa
Sedarilah insan istimewa
Bahawa kelembutan bukan kelemahan
Bukan jua penghinaan dari Tuhan
Bahkan sebagai hiasan kecantikan
~Wassalam…~~
No comments:
Post a Comment